PROGRAM MENEMBAK BURUNG GAGAK
Majlis Perbandaran Pulau Pinang akan menjalankan operasi-operasi menembak gagak di kawasan pulau meliputi lokasi-lokasi laluan, pendaratan, perhentian dan pembiakan utama burung gagak mulai bulan Julai 2010. Operasi-operasi dijalankan diantara 7.00 pagi hingga 7.30 petang pada hari-hari Ahad sahaja memandangkan kegiatan perniagaan dan trafik kenderaan berkekurangan pada hari itu dan juga mematuhi arahan oleh pihak polis. Operasi-operasi akan tamat pada bulan Disember.
Biasanya, operasi-operasi menembak gagak dilakukan jauh daripada rumah-rumah kediaman. Namun begitu, oleh kerana burung gagak merupakan haiwan domestik dan sering bermaharaja lela di kawasan-kawasan bandar dan separa bandar, setengah-setengah operasi yang dilakukan di kawasan-kawasan perniagaan dan perumahan berdekatan dengan rumah-rumah orang seperti di taman-taman, padang-padang, kebun-kebun bunga, tanah-tanah lapang serta jalan-jalan di mana terdapat pokok atau tumbuhan yang tinggi tidak dapat dielakkan. Majlis sering menerima permintaan daripada penduduk-penduduk untuk menembak burung gagak di tempat-tempat kediaman mereka.
Majlis telah mengadakan program menembak burung gagak pada setiap tahun sejak tahun 1998 dengan sokongan padu dan secara sukarela daripada Kelab Menembak Pulau Pinang dan ahli-ahlinya. Program ini merupakan sebahagian daripada usaha-usaha Majlis untuk mengurangkan populasi burung gagak di kawasan pulau. Kegiatan-kegiatan lain yang dijalankan termasuk memerangkap, meracun dan mencangkuk sarang burung gagak.
Oleh kerana senapang-senapang jenis shotgun digunakan untuk menembak gagak, sedikit sebanyak gangguan bising akan timbul semasa operasi dijalankan. Justeru itu, Majlis memohon persefahaman dan kerjasama daripada semua pihak dalam menjayakan program anti-gagak seperti ini.
Sekian, terima kasih.
Dikeluarkan oleh :
Bahagian Perhubungan Awam
Majlis Perbandaran Pulau Pinang
Bertarikh : 01 Julai 2010